Pengiktirafan untuk bloggers
Oleh Diyanah Anuar
BUAT kali kelimanya sejak 2001, komuniti penulis jurnal elektronik paling aktif, Geng Jurnal mengadakan perjumpaan tahunan antara ahlinya, sekali gus menyampaikan Anugerah Geng Jurnal 2005.

Majlis yang diadakan di Dewan Serba Guna, Precint 8, Putrajaya itu dihadiri hampir 100 orang ahli Geng Jurnal.
Perjumpaan antara komuniti mungkin sesuatu yang biasa, tetapi yang menarik mengenai majlis perjumpaan ini pastinya acara penghargaan untuk penggiat weblog yang bernaung di bawah gagasan Geng Jurnal.
Sesi penyampaian anugerah dimulakan dengan Anugerah Weblog Baru Terbaik dimenangi laman blog I Am Tri Service Officer oleh Amir Azmi. Anugerah Catatan Terbaik juga dipertandingkan di bawah tiga kategori iaitu Merangsang Intelek, yang dimenangi catatan Book-smart or Street-smart dari laman blog Delima Sakti (Muhammad Faisal Sharbudin), kategori Menyentuh Emosi, catatan berjudul Selamat Hari Guru dari laman blog Jiwa Kacau (Basri Nor Mohd) dan catatan Mencuit Hati yang diterima Azalan Hussain dengan catatan bertajuk Berkemut-kemut di laman blognya iaitu Hikayat Sinaganaga Origami

Hadirin juga dihiburkan dengan persembahan daripada kak Ungku serta duo AP dan Irwandy. Majlis pada petang itu diterajui dua hos MJ & Bean sebagai emcee yang turut mempersembahkan nyanyian rap yang liriknya berkisar mengenai dunia blog manakala Attokz bertugas sebagai deejay.
Anugerah diteruskan untuk sesi kedua pada petang itu dengan mengiktiraf laman blog Solidmind.16 yang dibangunkan Mohd Mukhlis Mustapha sebagai penerima anugerah Reka Bentuk Terbaik. Saiful Nang pula meraih anugerah Fotoblog Terbaik melalui Saiful Nang Fotopages.
Kategori Weblog Bahasa Inggeris Terbaik dimenangi Hasnan Hakim untuk laman blog Figurasi [a solitary journey] diikuti kemuncak penyampaian anugerah pada petang itu yang menobatkan laman blog Pukul Berapa Tok Harimau kelolaan Ghazali Bunari sebagai Weblog Terbaik tahun 2005.
Klik untuk ke laman online iKON
*beberapa pembetulan fakta terhadap maklumat di atas telah dilakukan oleh moderator GJ